Friday, June 5, 2009

Mudah Lupa Melayu

Apabila aku mengatakan aku tidak bersetuju bila orang Melayu sendiri mengatakan bangsanya ini mudah lupa, pemalas dan sebagainya, aku sering dipandang serong dan dibantah habis-habisan oleh manusia. Mereka tertawakan aku dan menganggap aku seperti pembangkang kepada apa yang mereka percaya selama ini dan orang seperti aku memang tidak akan berjaya dalam hidup. Malah menutup telinga dan pemikiran mereka daripada mendengar penjelasan aku dan berfikir sejenak sebelum membuat konklusi.

Betulkah Melayu mudah lupa? Melayu pemalas? Apakah Melayu ini pemalas dan akan malas dan terus terlupa sampai kiamat? Hebat sangatkah bangsa-bangsa lain selain daripada Melayu? Apa kamu kata 'reverse psychology'?

Mereka tetap mengatakan yang memang bangsa Melayu mudah lupa dan Melayu itu pemalas. Mereka suka untuk membanding bandingkan sesuatu tanpa berfikir panjang dan ia berjaya membuat aku muak dan berasa hairan. Mereka menyuruh aku mengambil kata-kata itu sebagai motivasi untuk aku berjaya dan pelik, mereka tidak seperti menunjukkan contoh yang mereka dimotivasi oleh kata-kata itu. Aku tidak pernah nampak hal itu sebagai motivasi kepada diri aku sebaliknya aku sedar yang selama ini aku telah dibelenggu oleh suatu benda yang tidak terlihat dalam diri supaya menjadi takut dan pesimis tentang segala apa di depan aku.

Buka mata, hati dan lihat sekeliling. Takut kepada semua benda. Takut untuk itu dan ini, takut untuk tahu, takut untuk mencuba, takut untuk bertanya, takut salah, takut gagal, takut untuk berfikir, takut untuk bercakap, takut hantu dan bermacam macam jenis ketakutan yang melampau. Kepala hanya digunakan untuk mengangguk dan mulut hanya untuk mengiyakan semua benda, baik salah atau betul.

Sedikit unsur unsur negatif sudah cukup untuk merosakkan unsur unsur positif yang ada dalam minda dan ianya boleh mempengaruhi perlakuan kita secara tak sedar. Apa mereka tidak sedar hukum alam, cas negatif tidak sama sekali akan boleh bercampur dengan cas positif. Ia akan saling berlawanan.

Kita lupa yang ‘lupa’ itu adalah sifat semulajadi manusia tidak mengira apa apa bangsa atau suku kaum. Apakah kaum kulit putih, hitam atau coklat selain bangsa Melayu memang rajin, bukan pelupa dan sebagainya? Orang kulit putih lagi teruk, mereka bukan sahaja pelupa, tetapi sengaja buat-buat terlupa. Orang Amerika memang cukup suka untuk ‘one night stand’ sesama mereka, malam ‘bersuka ria’, esok buat buat lupa. Orang Melayu pun amatlah gembira melihat telatah dan cara hidup orang kulit putih dan teruslah mencuba berjinak-jinak dengan bidang baru itu.

Bekas rakan serumahku, pelajar yang cemerlang di dalam akademik menimbulkan persoalan pertama kepada aku tentang hal ini. Setiap hari dan hampir setiap masa, dia hanya menghabiskan masanya dengan duduk di atas kerusi menghadap buku. Hampir setiap kali aku melihatnya dia berpelakuan seperti itu dan kelakuannya itu bukanlah untuk sehari atau seminggu tetapi untuk bertahun tahun lamanya. Ini adalah realiti kepada orang yang mengenalinya. Masa terluangnya hanya dihabiskan dengan menghadap buku dan setiap kawan kawan yang datang kerumah menyedari tentang hal itu dan mereka tak lupa menyatakan kekaguman mereka terhadap sikapnya itu, setiap kali mereka datang.

Dan selama itulah aku sering tertanya-tanya bagaimanakah dia boleh duduk diam diam disitu, disaat rakan-rakan yang lain sedang tidur dan bersuka ria, apakah yang membuat dia terus duduk di atas kerusi keras itu, tidak jemu kah dia, tidak letihkah dia. Aku pernah bertanya kepadanya namun dia hanya memberi jawapan yang sekadar menjawab tetapi tidak meyakinkan. Dan baru sekarang aku mengetahui apa yang membuatkannya menjadi begitu. Dan sekarang aku juga merasainya, walaupun tidak sepertinya tetapi aku tahu apa realitinya. Dan baru sekarang aku sedar bukanlah mudah untuk menjawab kepada persoalan yang pernah aku tanyakan kepadanya.

Dan betullah apa yang dikatakan oleh James K. van Fleet, kritikan tidak akan berjaya membuat seseorang itu melakukan sesuatu. Sebaliknya pujian adalah suatu alat yang berkuasa untuk menyerlahkan potensi sebenar seseorang itu. Orang lain semua dah sedar tapi kita masih tetap tidak peduli.

Sesungguhnya orang Melayu memang pelik dan unik. Pelik dan unik kerana kita tidak nampak satu pun kualiti yang ada pada bangsa kita sendiri. Kita hanya tahu mengkritik dengan harapan supaya ianya dapat membawa kita ke depan, tetapi sebaliknya. Kita malu dengan apa yang ada pada kita. Kita hanya suka untuk duduk dan lihat apa yang akan terjadi, daripada mengambil risiko. Tiada apa yang kita boleh berbangga dengan bangsa kita sendiri. Kita terlalu mengagungkan bangsa lain, sampaikan kita terlupa apa yang ada pada kita. Kita terlalu mengagungkan bangsa lain dan menghentam bangsa kita sendiri sehingga bangsa bangsa lain terus maju manakala kita hanya mampu untuk berada dibelakang sambil memasang impian untuk berada di hadapan mereka, yang kita semua tahu ianya mustahil dan tidak akan terjadi.

Pernahkah kita mengambil tahu bagaimana moyang moyang kita mendapatkan datuk datuk kita, datuk datuk kita mendapatkan bapak-bapak kita, dan bagaimana pula bapak-bapak kita mendapatkan kita? Tak pernahkah kita terfikir mengapa kita masih boleh hidup walaupun kita sepatutnya dah hilang di tahun 1511?

Kerana kita takkan boleh hilang. Kita akan ada sampai bila-bila.

Tidakkah kita letih dengan semua benda yang melemahkan diri kita sendiri. Seolah-olah kita memang dilahirkan untuk menjadi satu kaum yang telah dilahirkan bernasib malang seperti terkena sumpahan, yang malas, mudah lupa dan tidak akan berjaya sampai bila-bila.


M. Nasir – Biarkan Luncai Terjun

Kita bukanlah mereka
Mereka bukanlah kita
Haruskah kita jadi mereka
Mereka jadi kita
Revolusi atau hanya nafsi-nafsi

Kita kata kita melamun
Kita kata kita jakun
Kuno, pasif dan irihati
Malas pula boleh dibeli
Suka berpolitik

Kau dan aku, kita
Berdiri di persimpangan
Kau dan aku, kita
Dalam kemelut dan kekalutan

Biarkan luncai terjun
Dengan labu-labunya
Biarkan biarkan

Mabuk, amuk dan merajuk
Itulah cogankata kita
Dan diwarisi dari Pak Tua
Dari Pak Tua


No comments: