Tuesday, June 23, 2009

Politik Bahasa

Aku pelik dengan orang Malaysia terutamanya bangsa aku sendiri. Hal yang tidak menjadi masalah pun dijadikan masalah besar. Isu bahasa pun jadi masalah. Aku kata betul, kau kata salah dan sebaliknya. Semua benda nak dipolitikkan, sampai hal rumah tangga orang pun tetap menjadi bahan politik keparat sesetengah daripada mereka. Itulah orang Melayu yang kuat sangat berpolitik dan suka sangat berpolitik.

Mereka lebih suka berpolitik daripada berfikir. Apa pula beza berfikir dengan berpolitik? Bezanya diceritakan daripada apa yang tersirat di dalam petikan ini;

"Seorang pensyarah, bertanya kepada kelasnya satu soalan yang pernah ditanya oleh ahli falsafah yang aku minati iaitu Plato. Soalannya adalah apa itu keadilan? Macam mana kamu nak bezakan suatu tindakan itu adil ataupun tidak? Macam mana kita nak tahu apa yang patut kita lakukan atau apa yang betul untuk dilakukan? Profesor itu mengkehendaki pelajarnya untuk memberikan jawapan pada kelas berikutnya. Selepas syarahan, seorang pelajar datang bertanya samada jawapan kepada semua persoalan itu akan diberitahu kelak. Profesor itu menjawab yang mereka semua boleh memberikan jawapan yang kemungkinan betul tetapi Profesor itu tidak menjamin akan jawapan itu tepat. Pelajar itu terus menjawab, “ok lah tu, asalkan kami memberi jawapan sudah mencukupi, tak payah lah kami berfikir lagi.”

Pada pandangan aku, tak usahlah dibesar besar kan hal ini semacam negara kita hendak pergi berperang esok. Isu pembelajaran dalam bahasa Inggeris tak perlu dirungkai kerana ianya tetap tidak boleh memberi jawapan yang memuaskan semua pihak. Ia adalah situasi kalah mati yang yang dah disimpul mati. Jika begitu keputusan yang diambil, pastinya ada yang kalah dan ada yang menang.

Apabila berpijak di atas bunyi nyata, kita akan nampak yang sistem ini tidak sekejam seperti disangka kerana cikgu-cikgu di sekolah tetap menggunakan bahasa rojak untuk mengajar malah ada yang menggunakan bahasa Melayu di dalam peratusan yang lebih banyak daripada menggunakan bahasa Inggeris. Macam mana mahu mengajar dalam bahasa Inggeris jikalau murid murid tidak faham apa yang dikatakan cikgu? Oleh itu, istilah ‘prerogative power’ seperti yang diberitahu oleh John Locke di dalam teori demokrasinya telah digunakan oleh cikgu-cikgu tersebut untuk menolong murid tersebut. Itu realitinya!

Sesetengah orang berpendapat kalau diteruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris ini, orang Malaysia boleh maju sebab kita belajar guna bahasa dunia. Ada pula sesetengah berkata belajar dalam bahasa Inggeris tidak akan membawa ke mana mana, kerana ianya membuat pelajar tidak benar benar memahami apa yang diajar. Ada pula berkata, kita kena jadi seperti Jepun, tetap maju walaupun guna bahasa sendiri. Ada lagi yang berkata bahasa Melayu akan pupus jikalau diteruskan sistem ini.

Kesannya orang Melayu tetap juga begitu, tetap sama,tiada yang berubah. Itu hanya sebahagian daripada pendapat-pendapat manusia di Malaysia. Kalau diperhatikan dalam setiap kenyataan itu, ada berbagai pengaruh emosi, kepercayaan dan sentimen yang tidak patut disertakan secara ‘solo’ dalam membuat keputusan. Jawapan aku kepada kenyataan manusia manusia itu, semuanya adalah benar. Tetapi, mana pula yang paling benar dan tepat?

Tiada jawapan yang tepat kerana apa yang tepat hanyalah jawapan yang paling banyak memberi kebaikan kepada negara.

Kita mesti kembali kepada persoalan asas mengapa di perkenalkan sistem ini. Ada satu sahaja sebenarnya iaitu untuk memajukan negara kita melalui penguasaan sains dan matematik. Itu adalah persoalan utama. Matlamat jangka panjang yang diidamkan oleh setiap bangsa di atas dunia ini.

Jawapan yang paling tepat bergantung kepada matlamat seseorang yang mengeluarkan kenyataan itu. Setiap orang yang memberi pandangan semestinya percaya bahawa pandangan mereka adalah bagus dan tepat. Setiap jawapan yang diberikan adalah terikat dengan akibatnya dan ia bergantung kepada tahap impak yang dibawa oleh keputusan itu sendiri. Paling penting, perlunya diadakan analisa untung dan rugi daripada setiap jawapan kerana itulah yang akan memberikan jawapan yang paling bagus. Kalau Plato ataupun Socrates mahupun Einstein diberikan persoalan ini, mereka juga akan pening lalat memikirkan jawapan yang paling tepat.

Namun walau apa pun keputusan yang diambil, ianya tetap akan mengalami nasib yang sama iaitu akan ada yang kalah dan ada yang menang dan ada yang kita untung dan ada yang kita rugi.

Sebenarnya, kalau kita nak maju, bukannya isu ini yang patut dibawa ke puncak pengadilan. Kita sebenarnya tidak tahu meletakkan kepentingan di tempat yang sepatutnya. Untuk mengetahui apakah kepentingan tersebut, sila nantikan pos yang akan datang..